SHAH ALAM: Malaysia Book of Records (MBOR) hari ini mengiktiraf usaha pelajar Kolej PTPL di sini yang mencipta logo 1Malaysia dengan menggunakan 30,000 biji kuih apam yang dimasak sendiri oleh mereka.
Pengiktirafan berdasarkan penggunaan logo dari kuih.
Usaha yang bermula dari semalam itu disertai oleh 200 pelajar jurusan Hospitaliti serta Seni Kulinari yang membabitkan kos RM15,000 yang dikeluarkan pihak pengurusan kolej dalam usaha menyemai semangat kerjasama di kalangan pelajar.
Presiden Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) dan Kumpulan Kolej PTPL, Datuk Prof Mohd Shukri Ab Yajid berkata proses menyusun kuih apam berkenaan di atas sebuah meja di kawasan padang kolej itu dimulakan seawal pukul 8 pagi tadi.
Beliau berkata logo 1Malaysia itu disusun menggunakan kuih apam yang sebahagiannya dibalut dengan kertas berwarna biru, putih dan merah.
"Saya bangga kerana usaha yang dilakukan para pelajar ini dapat membantu mereka menjadi generasi masa depan yang kreatif dan kompetitif," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pelajar kolej itu selesai menyusun logo 1Malaysia di sini hari ini.
Mohd Shukri berkata pelajar kolej itu mengambil masa empat jam untuk menyiapkan logo berkenaan dan diiktiraf oleh MBOR kira-kira pukul 2.30 petang tadi. Usaha pelajar kolej berkenaan turut disaksikan oleh wakil dari MBOR iaitu Penolong Penerbitnya Azrene Manap. -BERNAMA |
Post a Comment