| MY STORY™ |


Wednesday, June 10, 2009


"MULA-mula saya naik pentas ramai yang 'boo' bila tengok penampilan saya dengan bertudung. Ada juga yang kata kalau nak nyanyi nasyid, lebih baik balik. Ejekan itu membuat saya sedikit gementar kerana saya memilih cara berbeza daripada kumpulan muzik indie yang ada.



Majalah Al Islam, edisi Mac 2009"Tapi bila saya mula bermain gitar dan menyanyi, ramai yang terlopong. Penonton mula diam dan memberi tumpuan kepada nyanyian saya. Itulah permulaan muncul Yuna."



Inilah hakikat yang didedahkan oleh penyanyi dan pencipta lagu muda, Yuna, di dalam wawancaranya dengan majalah Al Islam, edisi Mac 2009. Ternyata, Yuna perlu berdepan dengan pelbagai stereotaip dan juga diskriminasi terhadap wanita yang memilih untuk bertudung.

Ramai antara puak pendokong sekularisme atau anti-Islam yang menggunakan isu hijab atau tudung sebagai "bukti" tentang "kejumudan" dan "keganasan" agama Islam. Ini memang sudah menjadi kata basi, namun ramai yang masih mempercayainya.

Malah, apabila mantan Presiden Amerika Syarikat George W Bush menyerang Afghanistan pada tahun 2001, salah satu alasan yang digunakan ialah untuk "membebaskan" kaum wanita yang tertindas.

Sikap seperti ini lebih terserlah apabila negara Perancis mengharamkan pemakaian hijab di sekolah-sekolah awam pada tahun 2004. Pendokong feminisme dari negara Jerman, Alice Schwarzer, berkata, "Hijab menggugat pencapaian zaman Pencerahan." Binnaz Toprak, seorang ahli akademik dari negara Turki, berkata, "Hijab merupakan satu simbol kelemahan status wanita."

Jadi Yuna sebenarnya membuat satu pilihan yang agak radikal. Dia bukan sahaja mematahkan stereotaip wanita Islam yang tertindas lagi jumud, tetapi juga mematahkan stereotaip bahawa wanita bertudung hanya layak untuk menyanyikan lagu nasyid.

Tetapi yang melegakan hati ialah Yuna tetap mendapat sambutan ramai. Laman MySpacenya pun sudah mencecah 660,000 kunjungan. Ianya satu petanda baik yang diskriminasi terhadap Yuna hanyalah sementara dan daripada segelintir kecil sahaja di kalangan masyarakat. Yang paling penting, Yuna sekarang mencipta nama kerana bakatnya yang besar. Dia pandai bermain piano dan gitar, mencipta lagu, dan suaranya lunak macam Norah Jones.


petikan dari : The Nut Graph

Posted by | Rosliyana Bte Ali @ Abidin™ | at 2:55 AM |

0 Comments:

Post a Comment